Nuffnang Ads

Ahad, 20 Mei 2012

Chelsea Juara UCL 2012


Juara 2012 : Chelsea
Pasukan Chelsea di bawah bimbingan pengurus sementara Roberto Di Matteo menjuarai Piala Juara-Juara Eropah setelah menewaskan pasukan dari Jerman, Bayern Munich 4-3 hasil sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.  Lebih menggembirakan lagi, ini merupakan kejuaran pertama Chelsea dalam kejohanan kelab berprestij Eropah ini.
Walaupun sepanjang perlawanan ini kelab Bayern Munich banyak melakukan serangan demi serangan ke kubu Chelsea, penjaga gol Chelsea Petr Cech dan pertahanan Chelsea diketuai Ashley Cole berjaya mengekang setiap asakan tersebut.  Bayern membuka tirai jaringan pada minit ke 83 setelah Thomas Muller bijak menanduk masuk sepakan Toni Kroos menewaskan Petr Cech.  Ketika kejuaraan dilihat hampir menjadi milik Bayern Munich, Didier Drogba yang berkemungkinan beraksi kali terakhir bersama Chelsea muncul wira pasukannya sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila menanduk kencang sepakan penjuru dari Juan Mata sekaligus menewaskan penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer.
Jaringan itu nyata menyentap semangat pasukan Bayern Munich yang dahagakan kejuaraan setelah hanya muncul sebagai naib juara Busdesliga Jerman dan Piala FA Jerman kepada pasukan Borussia Dortmund.  Perlawanan yang diheret sehingga masa tambahan jelas menunjukkan penguasaan pasukan Bayern Munich.  Bayern Munich berpeluang menamatkan cabaran Chelsea apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke 95 masa tambahan kepada pasukan Bayern Munich kerana kekasaran yang dilakukan oleh Didier Drogba ke atas Franck Ribery.  Arjen Robben yang diberikan tugas mengambil sepakan tersebut gagal memanfaatkan sepakan penalti tersebut setelah sepakannya berjaya ditepis dengan cemerlang oleh Petr Cech.

Kubu pasukan Chelsea terus diserang bertalu-talu oleh Bayern Munich namun Chelsea berjaya mengekang asakan tersebut seterusnya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.  Sepakan penalti Chelsea telah disempurnakan oleh David Luiz, Ashley Cole, Frank Lampard dan Didier Drogba yang berjaya menyempurnakan penalti yang membawa kejayaan kepada pasukannya.  Juan Mata gagal dalam sepakan penalti pertama Chelsea apabila sepakannya ditepis oleh Manuel Neuer.  Sepakan penalti Bayern Munich pula disempurnakan oleh Philip Lamn, Mario Gomez dan Manuel Neuer manakala kegagalan Ivica Olic dan Bastian Schweinsteiger nyata membawa padah kepada pasukannya.

Apa-apa pun kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi yang baik dan kemenangan Chelsea ini sekaligus menafikan tiket pasukan Tottenham ke Liga Juara-Juara Eropah untuk musim akan datang.  Tahniah kepada pasukan The Blues Chelsea atas kejayaan ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa