Nuffnang Ads

Selasa, 22 Mei 2012

Piala Thomas 2012 : Malaysia 2 - Denmark 3


Harapan Skuad Piala Thomas negara untuk menjuarai Kumpulan C berkecai apabila tewas 2-3 kepada pasukan Denmark.  Harapan yang diletakkan kepada Datuk Lee Chong Wei untuk mendapatkan mata pertama tidak kesampaian apabila beliau terpaksa menarik diri pada set pertama akibat kecederaan pada pergelangan kaki.  Ini memungkinkan beliau terpaksa melupakan terus cabaran Piala Thomas negara kerana kecederaannya itu.

Lain-lain keputusan menyaksikan pasangan beregu pertama negara Tan Boon Heong/Hoon How Thien tewas kepada gandingan Carsten Mogensen/Mathias Boe 17-21, 23-21, 11-21.  Perseorangan kedua negara, Liew Daren menghidupkan peluang negara apabila beliau menewaskan Jan O Jorgensen 21-15, 21-13 untuk menjadikan kedudukan 1-2. 

Gandingan beregu kedua negara bagaimanapun gagal memberikan mata yang diharapkan untuk menyamakan kedudukan apabila gandingan Koo Kien Keat/Goh V Shem tewas kepada gandingan Jonas Rasmussen/Joachin Fischer Nielsen 21-18, 21-15.  Kemenangan Muhammad Hafiz Hashim yang menewaskan Hans-Kristian Vittinghus 17-21, 21-17, 21-19 sekadar melengkapkan jadual pasukan negara.  Keputusan perlawanan Malaysia tewas 2-3 kepada Denmark.

Semoga skuad negara dapat meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya dengan jayanya.

Tenis Rome Masters 2012 : Juara Milik Nadal, Sharapova

 
Nadal
Tenis Rome Masters 2012 telahpun melabuhkan tirai dengan Rafael Nadal dari Sepanyol dan Maria Sharapova dari Russia menjuarai kategori masing-masing.  Nadal, pemain pilihan kedua kejohanan menundukkan pemain pilihan pertama, Novak Djokovic dari Serbia 7-5, 6-3 untuk merangkul kejuaraan buat kali keenam.

Sharapova
Sharapova pula menewaskan Li Na dari China dalam pertarungan sengit tiga set 4-6, 6-4 dan 7-6.  Perlawanan akhir tersebut terpaksa ditunda akibat hujan lebat.  Bagaimanapun saingan tetap hebat serta menghiburkan penonton yang hadir menyaksikan kedua-dua perlawanan akhir tersebut.  Tahniah diucapkan kepada Nadal dan Sharapova atas kejayaan mereka.  

Piala Thomas 2012 : Malaysia lawan Denmark



Kejohanan badminton berprestij berpasukan Piala Thomas yang telahpun bermula pada 20 Mei 2012 lalu dan akan berakhir pada 27 Mei 2012 di Wuhan, China.  Dalam perlawanan pertama semalam, skuad negara dengan mudah menundukkan skuad Afrika Selatan dengan kemenangan mudah 5-0. 

Skuad negara akan bertemu dengan pasukan Denmark pada hari ini bagi menentukan pasukan yang akan menjuarai Kumpulan C seterusnya mara ke pusingan suku akhir selaku juara kumpulan.  Saingan dengan Denmark dijangka sengit memandangkan kekuatan Denmark lebih bergantung kepada pasangan bergu mereka manakala Malaysia dilihat berkelebihan dalam perseorangan.

Semoga skuad negara mempamerkan persembahan yang membanggakan seterusnya menewaskan Juara Eropah, Denmark serta dapat mengelakkan pertemuan dengan pasukan pilihan lain seperti pasukan tuan rumah China, Indonesia dan Korea Selatan.  Malaysia Boleh dan Semoga Berjaya. 

Nazmi Faiz terpilih sertai FC Beira Mar


Pemain bola sepak muda sensasi negara Mohd. Nazmi Faiz Mansor, 17 tahun, kini sah akan berkelana di Portugal di mana beliau dilaporkan terpilih dan telah menandatangani kontrak selama 3 tahun bersama kelab Divisyen 1 Portugal, FC Beira Mar sehingga tahun 2015.

Beliau yang menjalani ujian pemilihan bersama kelab tersebut berjaya menambat hati pihak pengurusan kelab berkenaan.  Kejayaan ini nyata amat membanggakan arena sukan negara khususnya sukan bola sepak.

Dengan bakat serta kesungguhan beliau untuk maju dalam kariernya sebagai pemain, ramai berkeyakinan bahawa beliau mampu pergi lebih jauh serta melakukan sesuatu kepada bola sepak negara.  Pemilihan ini jelas juga membuktikan bahawa, negara kita tidak ketandusan bakat-bakat bola sepak untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.  Tahniah diucapkan kepada Nazmi Faiz atas kejayaan beliau ini. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa