Nuffnang Ads

Sabtu, 26 Januari 2013

Bola Sepak : Review Liga Malaysia 2013


Liga Malaysia 2013 telah pun memulakan sepak mulanya pada 5 Januari 2013 dengan perlawanan Piala Sumbangsih antara juara treble musim 2012, Kelantan bertemu dengan naib juara Piala Malaysia 2012 dan Juara Liga Premier ATM FA berkesudahan dengan ATM FA menang melalui sepakan penalti 5-4 setelah kedudukan semasa perlawanan terikat dengan 1-1. Liga Premier 2013 memulakan saingan pada 7 Januari 2013 manakala Liga Super 2013 memulakan sepak mula pada 8 Januari 2013. Selepas 5 perlawanan dilangsungkan, saingan Liga Malaysia 2013 akan dihentikan buat seketika bagi membolehkan pasukan Harimau Malaya di bawah kendalian Datuk K. Rajagopal memfokuskan kepada pusingan kelayakan Piala Asia 2015. Berikut adalah antara sorotan menarik Liga Malaysia 2013 untuk tatapan kita bersama :

KEBANGKITAN TOK GAJAH DAN PDRM FA


Pasukan Pahang di bawah kendalian Dollah Salleh telah menunjukkan prestasi yang mengkagumkan dalam Liga Super 2013 sekaligus muncul sebagai pendahulu liga selepas 5 perlawanan dengan 13 mata. Bermula dengan menewaskan pasukan pilihan Darul Takzim FC 3-2, anak buah Dollah Salleh meneruskan momentum dengan mencapai 3 kemenangan dan 1 kekalahan kepada pasukan Selangor. Keupayaan pasukan Tok Gajah ini amat mengkagumkan apatah lagi kebanyakan perlawanan mereka menggunakan pemain-pemain tempatan.

Dalam saingan Liga Premier 2013 pula, pasukan PDRM FA pula unggul di carta liga dengan 13 mata hasil daripada 4 kemenangan dan 1 seri meninggalkan pasukan pilihan lain seperti Kedah, Sime Darby FC dan Sarawak. Dengan rekod tanpa kalah, pasukan PDRM FA dijangka akan meneruskan momentum mereka untuk perlawanan berikutnya seterusnya mara ke saingan Liga Super musim hadapan.

TUMPUAN KEPADA PEMAIN IMPORT


Kehadiran pemain import berkualiti musim 2013 merancakkan lagi saingan musim ini. Kehadiran nama-nama besar seperti Dani Guiza, Simone Del Nero, George Boateng dan Caleb Folan nyata menunjukkan kesungguhan pasukan-pasukan Liga Super menarik minat pemain import berkualiti. Selain itu, penjaring terbanyak musim lalu iaitu Francis Forkey Doe dan Effa Owana nyata bakal merancakkan saingan musim ini.

KEHEBATAN FAUZI ROSLAN

Nama Fauzi Roslan iaitu peledak berbisa pasukan Pahang semakin hari semakin meniti di bibir peminat bola sepak tempatan. Keupayaan serta sentuhan berbisa pemain ini menenggelamkan peledak kebangsaan seperti Safee Sali dan Nor Shahrul Idlan Talaha yang beraksi untuk pasukan Darul Takzim FC. Prestasi cemerlang ini juga membolehkan beliau dipanggil untuk aksi pasukan Harimau Malaya bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia 2015. Berdasarkan prestasi semasa, tidak mustahil beliau mampu menjadi peledak berbisa pasukan negara satu hari nanti.

JADUAL PERLAWANAN YANG PADAT

Jadual perlawanan yang padat nyata amat meletihkan pemain. Sesetengah perlawanan diadakan selang 3 hari menyebabkan pemain-pemain pasukan masing-masing gagal memberikan aksi terbaik akibat kepenatan. Perkara ini perlu dikaji bagi memastikan kecergasan serta keupayaan pemain berada ditahap yang terbaik dalam menghadapi saingan. 

KEPUTUSAN PENGADILAN YANG BOLEH DIPERTIKAIKAN

Seperti tahun-tahun lalu, pengadil memainkan peranan yang penting bagi memastikan perlawanan berlangsung dengan baik serta lancar. Saingan musim ini juga, menyaksikan pengadil gagal membuat keputusan yang baik sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan pasukan serta penyokong pasukan masing-masing. Jika perkara ini berterusan, ianya akan memberikan imej yang buruk kepada mutu pengadilan liga Malaysia. Sesuatu perlu dilakukan oleh FAM bagi memastikan tahap pengadil Malaysia mencapai tahap tertinggi dan terbaik. 

RASUAH BOLA SEPAK MALAYSIA

Rasuah ataupun mengatur keputusan perlawanan dalam bola sepak Malaysia merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian oleh badan induk bola sepak negara. Jika Rasuah berlaku, maka tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan imej bola sepak negara sentiasa bersih dan bebas daripada rasuah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa