Nuffnang Ads

Selasa, 3 September 2013

Bola Sepak : Analisis Piala Malaysia 2013

Saingan Watsons Piala Malaysia 2013 akan berehat selama 2 minggu bagi memberi laluan kepada kejohanan bola sepak jemputan Pestabola Merdeka 2013 yang akan berlangsung pada 7 hingga 14 September 2013 melibatkan pasukan bawah 23 tahun negara. Selain itu juga, pasukan senior negara akan menentang pasukan China pada 9 September 2013 dalam perlawanan persahabatan kelas A sebagai persiapan menghadapi pasukan Bahrain dan Qatar dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015. Saingan tahun ini menyaksikan berlakunya banyak kejutan dengan pasukan-pasukan underdog memberikan saingan kepada pasukan-pasukan berstatus bintang. Kejutan terbesar adalah dalam Kumpulan A di mana pasukan Red Giants Selangor semakin tipis ke suku akhir dengan hanya mampu mengutip 2 mata dari 4 perlawanan. Dengan baki 2 perlawanan, setiap pasukan perlu mencapai kemenangan bagi meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir saingan tahun ini. 

Selepas 4 perlawanan, berikut adalah analisis daripada Bual Sukan untuk saingan Watsons Piala Malaysia 2013 :

KUMPULAN A

Dalam saingan Kumpulan A, selepas mengharungi 4 perlawanan, Naib Juara Liga Premier 2013, Sime Darby FC melakukan kejutan terbesar di mana mereka menewaskan 2 pasukan pilihan Kumpulan A iaitu ATM FA dan Selangor selain menghampakan pasukan Selangor sekali lagi dengan keputusan seri. Manakala pasukan ATM FA pula bangkit dengan mencatat 2 kemenangan serta masing-masing 1 seri dan 1 kekalahan. Pasukan Johor juga masih berpeluang mara ke suku akhir dengan mengumpul 5 mata hasil 1 kemenangan, 2 seri dan 1 kekalahan. Peluang pasukan Selangor pula dilihat semakin tipis dengan hanya mengumpul 2 mata hasil 2 keputusan seri serta 2 kekalahan. Pasukan Selangor juga kehilangan jurulatih berpengalaman, Hj. Irfan Bakti yang meletak jawatan selepas kekalahan memalukan 0-3 kepada pasukan Sime Darby FC. Selangor mengharapkan 2 perlawanan akhir peringkat mereka mencapai kemenangan di samping pasukan ATM FA, Sime Darby FC dan Johor tercicir mata untuk layak ke suku akhir. Bual Sukan menjangkakan pasukan Sime Darby FC dan ATM FA akan mara ke peringkat suku akhir.  


KUMPULAN B

Peluang setiap pasukan untuk mara ke suku akhir dalam Kumpulan B masih terbuka dengan pasukan PKNS FC berada di kedudukan selesa untuk mara manakala pasukan berstatus bintang Darul Takzim FC dan T-Team masing-masing bersaing merebut tiket ke suku akhir. Saingan pasukan Felda United pula dilihat tipis namun segala-galanya boleh berlaku. Dalam Kumpulan B ini, Bual Sukan menjangkakan pasukan PKNS FC dan Darul Takzim FC akan mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2013.

KUMPULAN C

Saingan Kumpulan C atau "Kumpulan Maut" pula menyaksikan pasukan tercorot Liga Super 2013, Negeri Sembilan melakukan kejutan apabila mendahului carta Kumpulan C dengan 2 kemenangan di tempat lawan menewaskan Juara bertahan 2012, Kelantan dan pasukan Terengganu. Saingan walaubagaimanapun masih terbuka bagi keempat-empat pasukan ini. Pada pandangan Bual Sukan, kejutan akan berlaku di mana pasukan Negeri Sembilan dijangka mara ke suku akhir manakala satu lagi slot ke suku akhir akan diisi oleh pasukan Kelantan.  

KUMPULAN D

Berdasarkan prestasi semasa, Bual Sukan menjangkakan saingan ke suku akhir bagi Kumpulan D juga turut terbuka kepada keempat-empat pasukan dengan pasukan Sarawak dijangka meneruskan momentum kebangkitan pasukan Bujang Senang ini dengan mara ke peringkat suku akhir. Manakala satu slot lagi bakal diisi oleh pasukan Perak. Peluang juara Liga Super 2013, Lions XII juga masih terbuka namun 2 perlawanan terakhir ini menjadi saingan penting hidup mati mereka ke peringkat saingan peringkat suku akhir.  

Berikut adalah jangkaan Bual Sukan untuk suku akhir Watsons Piala Malaysia 2013 :

Sime Darby FC (Juara Kumpulan A) lwn Perak (Naib Juara Kumpulan D)

PKNS FC (Juara Kumpulan B)   lwn Kelantan (Naib Juara Kumpulan C) 

Negeri Sembilan (Juara Kumpulan C)   lwn Darul Takzim FC (Naib Juara Kumpulan B)

Sarawak(Juara Kumpulan D)   lwn ATM FA (Naib Juara Kumpulan A)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa