Nuffnang Ads

Sabtu, 2 November 2013

Bola Sepak : Piala Malaysia 2013 : Milik Kelantan atau Pahang?

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 bakal menemukan dua seteru pantai timur iaitu Kelantan "The Red Warrior" dan Pahang "The Elephant". Kedua-dua pasukan ini telah menampilkan permainan terbaik masing-masing apabila berjaya mengatasi halangan pasukan-pasukan lain seperti Darul Takzim FC, Selangor, Lions XII, ATM FA dan pasukan-pasukan lain. 

Kelantan di bawah bimbingan jurulatih Croatia, Bojan Hodak manakala Pahang di bawah jurulatih tempatan Dollah Salleh pastinya mempunyai ramuan kejayaan pasukan masing-masing untuk mencapai kejuaraan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2013. Pasukan Kelantan selaku juara bertahan Piala Malaysia 2012 pastinya akan cuba sedaya upaya mempertahankan kejuaraan ini manakala Pahang pastinya tidak akan memberi jalan mudah untuk pasukan lawan mereka.

Dari segi pemain-pemain pula, kedua-dua pasukan memiliki pemain-pemain terbaik yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Kelantan semestinya akan diketuai oleh kapten marvel mereka yang boleh diangkat selaku pemain terbaik Malaysia iaitu Badhri Radzi atau Piya dibantu dengan ketangkasan penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek di samping Nik Shahrul Azim, Azizi Che Rose, Obinha Nwaneri, Shakir Shaari, Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Muhammad, Zairo Anuar Zailani, Dickson Nwakaeme dan ramai lagi. Pasukan Pahang pula bakal diketuai oleh pemain paling berpengalaman mereka Jalaluddin Jaafar dibantu oleh Khairul Azhan selaku penjaga gawang, Damion Stewart, Razman Roslan, R.Gopinathan, R.Surendran, Amirul Hadi Zainal, Azamuddin Akil, Matias Conti dan pemain-pemain lain.

Walaubagaimanapun, pasukan Kelantan pastinya terasa akan kehilangan tonggak pertahanan import mereka Obinha Nwaneri akibat penggantungan setelah menerima kad kuning dalam perlawanan separuh akhir yang lalu. Pertembungan menarik juga pastinya adalah antara tonggak pertahanan import Pahang iaitu Damion Stewart dengan penyerang import Kelantan, Dickson Nwakame yang sememangnya mempunyai kemahiran yang tinggi untuk merobek serta mencipta gerakan merbahaya untuk rakan sepasukan. Selain itu, Piya pastinya sekali lagi menjadi watak penting selaku "Jeneral" di tengah padang dengan hantaran-hantaran yang boleh membantu kejayaan pasukan terutamanya penyudahan daripada Norfarhan, Indra dan Nwakaeme. 

Pasukan "Tok Gajah" Pahang juga pastinya mempunyai kombinasi serangan pantas dengan ketangkasan dua "R" mereka iaitu R.Gopinathan dan R.Surendran selain umpanan tepat Amirul Hadi Zainal serta kepantasan dan ketajaman penyudah Azamuddin Akil dan Matias Conti. Kedua-dua pasukan ini pastinya bakal menyajikan persembahan cemerlang untuk memastikan kejuaraan dalam dakapan pasukan masing-masing. 

Semoga peminat bolasepak dapat menyaksikan satu perlawanan akhir yang menarik serta menghiburkan dengan corak permainan yang terbaik oleh kedua-dua pasukan.   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa