Nuffnang Ads

Jumaat, 17 Januari 2014

Bola Sepak : Pasukan mana pilihan menjuarai Liga Super 2014?

Sepak mula Liga Super 2014 akan bermula hari ini di mana melibatkan pertemuan merebut Piala Sultan Hj. Ahmad Shah antara pasukan juara Liga Super 2013, Singapore Lions XII bertemu dengan pasukan Juara Piala Malaysia 2013, Pahang Darul Makmur di stadium keramat Pahang iaitu Stadium Darul Makmur, Kuantan. Saingan musim ini dijangka antara yang terhebat apatah lagi 12 pasukan yang terlibat dalam Liga Super 2014 masing-masing membaut rombakan selain berbelanja besar untuk memantapkan pasukan menghadapi saingan mencabar musim ini. Dengan kuota 4 pemain import, setiap pasukan kecuali Singapore Lions XII menandatangani pemain-pemain import berkualiti bagi membantu kejayaan pasukan masing-masing.


Pasukan jemputan, Singapore Lions XII, di bawah kendalian Ketua Jurulatih baru iaitu Fandi Ahmad pastinya berusaha sedaya upaya mempertahankan kejuaraan Liga Super yang mereka menangi musim lalu. Dengan gandingan mantap muka lama dan muka baru dalam pasukan muda Singapore Lions XII, tidak mustahil mereka sekali lagi mampu melakar kejutan demi kejutan dalam mempertahankan kejuaraan musim lalu.

Antara pasukan yang bakal menjadi tumpuan ialah pasukan Johor Darul Takzim FC yang berbelanja besar mendapatkan nama-nama besar seperti bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar, Luciano Figeroa, Ketua pasukan bawah 23 tahun Singapura, Hariss Harunn dan pemain pertahanan terbaik Liga Malaysia 2013, Baihakki Khaizan. Selain itu, JDT FC juga mendapatkan ramai pemain-pemain kebangsaan serta bekas pemain Harimau Muda A antaranya Amri Yahyah, Mahali Jasuli, Norazlan Razali, Shakir Saari, Asrarudin Putra, Amirul Hadi Yahya, Nazrin Nawi, Irfan Fazail, Izham Termizi, Fadhli Shas dan ramai lagi pemain tempatan berkualiti bagi mencabar kejuaraan musim 2014.
Pasukan Selangor juga tidak kurang hebatnya apabila membawa masuk pemain-pemain seperti peledak berbisa dari Brazil, Paolo Rangel, 'Messi' Indonesia Andik Vermansyah selain pemain-pemain seperti Farizal Marlias, Thamil Arasu, Ahmad Hazwan Bakri, Rizal Fahmi Rosid, Hamsani Ahmad, Abdul Hadi Yahya dan ramai lagi pemain-pemain terbaik Liga Malaysia. Dengan bimbingan Ketua Jurulatih yang juga bekas pemain pertahanan kental Selangor satu ketika dahulu, Mehmet Durakovic, pasukan Selangor dilihat antara pasukan pilihan mencabar kejuaraan Liga Super 2014 akan datang.

Pasukan Kelantan juga perlu diberikan perhatian kerana walaupun kehilangan ramai pemain-pemain utama musim lalu, gandingan pemain lama seperti pemain terbaik Liga Malaysia 2013, Badrul Radzi atau Piya beserta pemain-pemain import seperti pemain antarabangsa Mesir, Mohamad Shawky, Francis Forkey Doe (Liberia), Muhammad Ghaddar (Lebenon) dan pertahanan kental Nigeria, Obinha Nwaneri serta pemain-pemain tempatan yang lain turut mampu mendatangkan cabaran terbaik dalam Liga Super 2014 akan datang.
Pasukan ATM FA di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, B. Santhianathan juga merupakan antara pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan Liga Super 2014 apatah lagi dengan sebahagian besar pemain musim lalu masih dikekalkan antaranya peledak berbisa mereka, Marlon Alex James, Bruno Martelotto, Hairuddin Omar, Amirizwan Taj, Rizal Zamberi Yahya, Irwan Fadzli Idrus ditambah pula dengan kehadiran semula bekas penjaring terbanyak Liga Malaysia 2003, Juan Manuel Arostegui dari Argentina pastinya mendatangkan cabaran kepada 11 pasukan lain.

Pasukan Pahang pula pastinya dengan reputasi gah menjulang Piala Malaysia 2013 mempunyai gaandingan pasukan yang mantap. Jika momentum musim lalu dikekalkan tidak mustahil pasukan Tok Gajah mampu muncul juara Liga Super 2014 akan datang. Diperkuatkan dengan gandingan tempatan dan import terbaik seperti Jalalludin Jaafar, Razman Roslan, Azamuddin Akil, R.Gopinathan, R.Surendran, Khairul Azhan, Matias Conti (Argentina), Damion Stewart (Jamaica) serta kehadiran bekas pemain import Kelantan, Dickson Nwakaeme (Nigeria) serta bekas pemain pertahanan Fulham dan QPR, Zesh Rahman (Pakistan), pasukan Pahang dilihat bakal mencabar kejuaraan musim 2014 akan datang.

Pasukan Perak dengan gandingan pemain-pemain berpengalaman serta pemain-pemain muda pastinya antara pasukan yang sukar untuk dijinakkan oleh pasukan lain. The Bos Gaurus pastinya perlu diberi perhatian oleh pasukan lain. Bakal diperkuatkan dengan gandingan tempatan seperti Hardi Jaafar, Nasir Basharuddin, Noor Hazrul, Hisyamuddin Syaari dan pemain-pemain tempatan lain serta 4 pemain import iaitu pemain antarabangsa Burkina Faso, Martin Kafando, Ketua Pasukan bawah 23 Tahun Myanmar, Kyar Zayar Win, bekas pemain terbaik Liga Croatia, Zelimir Terkes (Bosnia) dan Eliel de Cruz (Brazil). pasukan bimbingan Ketua Jurulatih Abu Bakar Fadzim pastinya bakal mencabar kelompok 5 pasukan terbaik Liga Super 2014 akan datang.

Pasukan yang digelar semut api, Selangor PKNS FC antara pasukan kelab terbaik dalam Liga Malaysia 2014. Di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan pasukan PKNS FC pastinya menjadi tumpuan dengan kehadiran gandingan penyerang import berkualiti iaitu Patrick Ronaldinho Wleh (Liberia) yang bakal bergandingan dengan penjaring terbanyak Liga Premier 2013, Karlo Primorac (Croatia) di samping pemain seperti Nazmi Faiz Mansor, Helmi Rameli, P. Gunalan dan pemain-pemain tempatan yang lain, tidak mustahil kejutan bakal dicipta oleh pasukan PKNS FC.
Pasukan Terengganu pula pastinya ingin melupakan kekecewaan musim lalu apabila gagal meraih kejayaan yang diharapkan. Dengan melantik Ketua Jurulatih baru iaitu Hj. Abdul Rahman Ibrahim di samping kehadiran semula pemain-pemain anak jati Terengganu seperti Norfarhan Muhammad, Zairo Anuar Zailani, Faiz Subri, Sharbinee Alawee serta pemain-pemain tempatan musim lalu seperti Abdul Manaf Mamat, Ashaari Shamsuddin, Ismail Faruqi serta pemain import seperti Vincent Bikana (Cameroon), Mario Karlovic (Australia), Mamadou Barry (Guinea) dan Marcio da Souza (Brazil), pasukan Terengganu dijangka mampu mengembalikan kegemilangan mereka suatu ketika dulu.

Pasukan T-Team pula di bawah bimbingan Ketua Jurulatih baru iaitu, Mohd. Azraai Khor Abdullah pastinya akan berusaha bersaing dengan pasukan-pasukan lain musim ini. Dengan pemain-pemain sedia ada ditambah pula dengan kehadiran pemain import baru seperti Nelson Sam Martin (Chile), Fabio Flor (Brazil), Patrick Wanggai (Indonesia) dan Evaldo Goncalves (Brazil), pasukan T-Team pastinya mendatangkan cabaran sukar kepada 11 pasukan lain dalam Liga Super 2014 akan datang. 
Cabaran pasukan Sarawak musim ini juga tidak boleh dipandang mudah oleh pasukan lain. Kemampuan anak-anak buah, Roberts Alberts mempertahankan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri musim lalu menunjukkan kemampuan pasukan Sarawak mencabar kejuaraan musim 2014. Dengan pemain-pemain seperti Joseph Kalang Tie, Sani Anuar Kamsani, Ashri Chucu, Zamri Morsidi serta 4 pemain import berkualiti iaitu Muamer Salibasic (Bosnia), Gabor Gyepes (Hungary), Alireza Abbasfard (Iran) dan Milorad Janjus (Serbia) pasukan Sarawak merupakan antara pasukan mantap dalam saingan Liga Malaysia 2014 akan datang.


Satu lagi pendatang baru dalam Liga Super 2014 ialah Sime Darby FC. Bakal diperkuatkan dengan 4 pemain import terbaik iaitu Dilshod Sharofetdimov (Uzbekistan), Mahmoud Amnah (Syria), William Mensah (Ghana) dan Wisdom Agblexo (Ghana) serta pemain-pemain tempatan lain, pasukan kendalian Ismail Zakaria dijangka mendatangkan kesukaran kepada 11 pasukan lain. Pasukan Sime Darby FC juga pastinya tidak memberikan laluan mudah kepada pasukan lain apatah lagi kemampuan mereka melakar kejutan pada musim Piala Malaysia 2013 yang lalu.

Pada pandangan Bual Sukan, saingan tahun ini pastinya lebih menarik dan tidak mustahil stadium yang suram kembali dipenuhi semula dengan peminat-peminat bola sepak tempatan. Semoga berjaya kepada semua pasukan Liga Super 2014 akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa