Nuffnang Ads

Sabtu, 4 Januari 2014

Bola Sepak : Pemain Import Tumpuan Liga Super 2014

Sepak mula Liga Super Malaysia akan bermula tidak lama lagi dengan saingan Liga Super musim ini pastinya lebih sengit di mana setiap pasukan menandatangani pemain tempatan dan pemain import berkualiti menghadapi musim Liga Malaysia akan datang. Tumpuan pastinya kepada pemain import di mana keupayaan serta aksi cemerlang mereka pastinya akan ditagih bagi membantu pemain tempatan dan pasukan memburu kemenangan dalam setiap perlawanan. 

Musim Liga Malaysia 2014 ini, pemain import yang pastinya menjadi tumpuan ialah bekas pemain kebangsaan Argentina serta bekas pemain kelab Benfica, Valencia, Real Zaragoza dan Boca Juniors iaitu Pablo Aimar yang beraksi bersama pasukan Johor Darul Takzim FC. Reputasinya selaku antara pemain terbaik dunia satu ketika dahulu pastinya menjadikan saingan liga Malaysia 2014 bertambah menarik. Turut menjadi tumpuan ialah penyerang Argentina Luciano Figeroa yang pernah beraksi bersama pasukan kebangsaan Argentina serta kelab Panathinaikos dan Birmingham City. 

Selain itu juga, kehadiran pemain-pemain import yang berkualiti sama ada dari benua Asia serta pemain benua-benua lain juga turut bakal merancakkan saingan Liga Malaysia 2014 akan datang. Antara pemain import yang dijangka menjadi tumpuan untuk pasukan masing-masing ialah seperti Paolo Rangel (Brazil) dan pemain yang digelar Messi Indonesia Andik Vermansyah yang bakal menyarung jersi pasukan Selangor. Turut dijangka menjadi tumpuan ialah pemain kebangsaan Mesir, Mohamad Shawky, penyerang Liberia Francis Forkey Doe, dan penyerang Lebanon Mohammad Ghaddar yang bakal menyarung jersi pasukan Kelantan. 

Turut memeriahkan lagi saingan Liga Malaysia 2014 adalah penjaring terbanyak Liga Malaysia yang pernah membantu pasukan MPPJ FC muncul selaku kelab yang menjuarai treble pada tahun 2003 iaitu Juan Manuel Arostegui dari Argentina yang bakal bergandingan bersama penjaring terbanyak Liga Super 2013, Marlon Alex James dan pemain tengah Bruno Martelotto (Argentina) untuk pasukan ATM FA. Kehadiran pemain Nigeria yang mewakili Kelantan musim lalu ke Pahang, Dickson Nwakaeme bergandingan dengan penjaring terbanyak Piala Malaysia 2013, Matias Conti turut menjadi perhatian.

Pasukan Perak turut tidak ketinggalan apabila menandatangani penyerang Bosnia, Zelimir Terkes yang merupakan penyerang terbaik Liga Croatia pada tahun 2008, pertahanan antarabangsa dari Burkina Faso, Martin Kafando serta ketua pasukan bawah 23 tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win. Kemasukan penjaring terbanyak Liga Premier 2013, Karlo Primorac (Croatia) bergandingan bersama penyerang antarabangsa Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh bagi pasukan PKNS FC pastinya turut menjadikan saingan menarik.

Pasukan Terengganu dan T-Team juga tidak ketinggalan membawa masuk pemain import berkualiti seperti Vincent Bikana (Cameroon), Fabio Flor (Brazil) dan bekas pemain import Kedah dari Chile, Nelson Sam Martin. Pasukan baru Liga Super 2014 akan datang, Sarawak dan Sime Darby FC juga turut membawa masuk pemain import berkualiti seperti Muamer Salibasic (Bosnia), Alireza Abbasfard (Iran) dan Gabor Gyepes (Hungary) manakala pemain antarabangsa Ghana dan Uzbekistan iaitu Dilshod Sharofetdimov (Uzbekistan), William Mensah dan Wisdom Agblexo (Ghana).

Pada pandangan Bual Sukan, saingan Liga Super 2014 merupakan antara saingan yang pastinya sengit serta ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak tempatan. Semoga pemain import yang ditandatangani oleh setiap pasukan mempamerkan persembahan yang terpuji serta membantu sedikit sebanyak pembangunan bola sepak negara. Majulah sukan untuk negara. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa