Nuffnang Ads

Khamis, 2 Januari 2014

Bual Sukan : Coretan Sukan Malaysia 2013

Tahun 2013 telahpun melabuhkan tirainya dengan memberikan 1,001 kenangan suka dan duka kepada persada sukan negara. Banyak kejayaan dicipta begitu juga dengan beberapa kegagalan dalam sukan negara. Segala kejayaan adalah tercipta hasil usaha semua pihak manakala kegagalan pula membuka mata semua pihak betapa pentingnya perancangan teliti serta bermuhasabah kembali bagi mencari jalan penyelesaian meningkatkan kembali arena sukan negara. Kejayaan yang dicipta harus dicuba sedaya upaya untuk dikekalkan dan diperkukuhkan manakala kegagalan harus segera ditangani dan diatasi segera.

Seperti tahun-tahun terdahulu, antara atlet yang terus menyumbang kejayaan kepada negara adalah Datuk Lee Chong Wei dalam sukan badminton, Datuk Nicol Ann David (Skuasy), Pandalela Rinong (Terjun) serta pasukan Hoki Remaja Negara. Kejayaan Datuk Lee Chong Wei merangkul 6 kejuaraan siri super badminton sepanjang tahun 2013 merupakan antara pencapaian hebat seorang atlet negara. Namun begitu, sesuatu perlu dilakukan bagi mencari pemain badminton yang bakal menggantikan Datuk Lee Chong Wei meneruskan legasi penguasaan badminton negara. Keupayaan Datuk Nicol Ann David mengekalkan takhta pemain nombor 1 dunia buat kesekian kalinya dalam skuasy merupakan kebanggaan negara. Kejayaan demi kejayaan yang dirangkul oleh beliau mengharumkan nama negara di persada sukan dunia.

Begitu juga dengan kejayaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang begitu menyerlah mengekalkan momentum terbaik bagi bersaing dalam acara terjun. Keupayaan bersaing dengan penerjun-penerjun dari China amat membanggakan dan tahun 2014 bakal menyaksikan beliau berkemungkinan akan terus mengharumkan nama negara dalam kejohanan-kejohanan utama seperti Sukan Asia 2014 dan Sukan Komanwel 2014. Dalam acara berpasukan pula, kejayaan pasukan Hoki Remaja negara menamatkan saingan di tangga keempat pada Kejohanan Hoki Remaja Dunia 2013 merupakan antara detik manis sukan negara. Ini merupakan antara pencapaian terbaik sukan hoki negara dan tidak mustahil jika perancangan serta persiapan teliti dilakukan, pasukan hoki senior negara turut mampu melakukan kejutan dalam Hoki Piala Dunia 2014 akan datang.

Beberapa kekecewaan juga turut dialami oleh sukan negara antaranya adalah kegagalan mempertahankan emas acara bola sepak di Sukan Sea 2013 serta kegagalan pasukan sepak takraw negara yang suatu ketika dahulu antara pasukan yang digeruni dalam sukan sepak takraw. Namun kegagalan ini harus segera diatasi bagi memberikan kejayaan kepada sukan negara. Bual Sukan berpandangan, tahun 2014 ini pastinya menjanjikan cabaran lebih getir dalam arena sukan negara. Namun demikian, kejayaan pasti akan terukir dengan kerjasama semua pihak seterusnya mengharumkan nama negara di persada sukan dunia.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa