Nuffnang Ads

Jumaat, 28 Februari 2014

Bola Sepak : Persahabatan Antarabangsa Malaysia - Filipina

Perlawanan persahabatan antarabangsa pasukan Harimau Malaya bertemu dengan pasukan Filipina The Azkals adalah perlawanan pertama kompetitif pasukan Malaysia tahun 2014. Perlawanan ini juga merupakan perlawanan pertama Ketua Jurulatih sementara pasukan Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee selepas diamanahkan untuk menjadi pengendali sementara pasukan negara. Pada 5 Mac 2014 ini, pasukan negara dijadualkan menentang pasukan Yemen dalam perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015 dengan harapan berjaya mencatat kemenangan untuk muncul pasukan di tangga ketiga terbaik dalam peringkat kumpulan untuk layak ke peringkat pusingan akhir di Australia akan datang. Walaupun peluang dilihat tipis namun maruah pasukan negara harus dipertahankan.

Filipina yang satu ketika dahulu sentiasa di kedudukan ranking yang terendah di Asia Tenggara kini merupakan pasukan terbaik dalam kedudukan ranking FIFA bagi peringkat Asia Tenggara iaitu di kedudukan ke 127 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke 150 dunia. Pasukan Harimau Malaya di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee pastinya akan cuba membuktikan sesuatu kepada penyokong setia bola sepak negara bahawa pasukan negara mampu melangkah lebih jauh di masa akan datang.

Kekecewaan demi kekecewaan penyokong bola sepak negara terhadap prestasi pasukan Harimau Malaya pastinya akan cuba ditebus dengan mencatat keputusan yang baik selain berusaha mengembalikan kegemilangan pasukan negara satu ketika dahulu. Kekecewaan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikatakan gagal membawa bola sepak Malaysia ke tahap yang terbaik juga perlu diberi perhatian oleh FAM. Pengorbanan penyokong setia yang sentiasa bersama di saat jatuh bangun bola sepak negara perlu dibayar dengan peningkatan prestasi pasukan negara.

Perlawanan persahabatan pada 1 Mac 2014 ini perlu digunakan sebaiknya oleh pasukan negara bagi membuktikan Harimau Malaya masih bisa mengaum garang. Bual Sukan berpandangan, perlawanan menentang pasukan Filipina The Azkals pastinya sengit apatah lagi semua pemain ingin membuktikan pemilihan mereka dalam pasukan Harimau Malaya adalah tepat. Semoga pasukan negara menunjukkan peningkatan terbaik dalam perlawanan persahabatan menentang Filipina esok. Selamanya Harimau Malaya..  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa