Nuffnang Ads

Sabtu, 1 Februari 2014

Bual Sukan : Rangkuman Sukan Malaysia Bulan Januari 2014

Bulan Januari 2014 baru sahaja berlalu dengan sukan beberapa kejayaan telah dicapai oleh atlet-atlet negara sepanjang bulan lalu. Selain itu juga, Liga Malaysia 2014 telahpun membuka tirai saingan dengan pasukan Pahang berjaya merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih 2014 atau Piala Sultan Hj. Ahmad Shah apabila menewaskan juara Liga Super 2013, Singapore Lions XII dengan 1-0 hasil jaringan Matias Conti. Aksi Liga Super, Liga Premier serta saingan Piala FA juga turut berlangsung sepanjang bulan Januari 2014 ini.
Sepanjang bulan Januari 2014, paling mencuri perhatian adalah kejayaan pemain perseorangan negara yang juga pemain badminton nombor 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan Badminton BWF Super Siri Terbuka Malaysia buat kali ke 10 selain muncul naib juara BWF Badminton Super Siri Terbuka Korea Selatan. Juga mengejutkan adalah pengumuman beliau yang berkemungkinan menggantung raket bagi menumpukan perhatian kepada keluarganya. Namun begitu, keputusan ini masih lagi dalam pertimbangan beliau. 

Selain kejayaan Datuk Lee Chong Wei, pasangan bergu negara yang semakin meningkat naik Goh V. Syem-Lim Khim Wah juga mencatat kejayaan membanggakan apabila menjuarai kategori bergu lelaki. Walaubagaimanapun, pasangan bergu nombor satu negara, Koo Kien Kiet-Tan Boon Heong meneruskan aksi hambar mereka apabila tewas di pusingan awal.

Ratu Skuasy negara, Datuk Nicol Ann David juga membuktikan bahawa beliau sememangnya layak bergelar pemain nombor 1 dunia apabila berjaya merangkul trofi kejuaraan dalam Kejohanan Skuasy Juara-Juara 2014 yang berlangsung di New York. Kejayaan ini merupakan kejuaraan yang ke 72 dalam kerjaya beliau dan jelas menunjukkan beliau mampu meneruskan kecemerlangan dalam sukan skuasy dunia musim ini serta tahun-tahun mendatang. 

Ratu lumba basikal negara, Nurul Fatehah Mustapha pula membuktikan kepada sukan negara apabila beliau berjaya merangkul pingat perak dalam kejohanan UCI di Mexico dalam acara kegemaran beliau. Kemenangan ini nyata menaikkan semangat beliau untuk meneruskan keazaman beliau untuk merangkul lebih banyak kejuaraan di masa akan datang.

Sukan negara juga turut dikejutkan dengan peletakan jawatan Ketua Jurulatih skuad hoki negara, Paul Revington di saat pasukan negara sedang giat menjalankan persiapan menghadapi Piala Dunia 2014. Tempat beliau kini digalas oleh Ketua Jurulatih pasukan remaja negara, Dharma Raj Abdullah yang berjaya membawa pasukan remaja menduduki tempat keempat dalam Hoki Remaja Dunia 2013 yang lalu. Bual Sukan percaya kemampuan Dharma Raj Abdullah dalam membimbing pasukan negara menghadapi cabaran hoki tahun 2014.

Bual Sukan percaya, bulan Februari ini pastinya menjanjikan kejayaan demi kejayaan dalam arena sukan negara. Semoga perjuangan atlet negara membuahkan hasil dalam setiap kejohanan yang disertai. Majulah Sukan untuk Negara.

Bual Sukan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa