Nuffnang Ads

Ahad, 30 Ogos 2015

Bola Sepak : UAE lawan Malaysia

Pasukan Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih Dollah Salleh dijadualkan bertemu dengan pasukan gergasi Asia iaitu United Arab Emirates atau UAE dalam perlawanan Pusingan Kelayakan FIFA Piala Dunia 2018 Russia dan Pusingan Kelayakan AFC Piala Asia 2019 UAE pada 3 September 2015 di Abu Dhabi. Pasukan UAE di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Mahdi Ali kini berada di kedudukan 69 dunia manakala pasukan negara di kedudukan 168 dalam ranking FIFA untuk bulan Ogos 2015. Pasukan negara berdepan dengan laluan getir kerana perlu mencatat keputusan yang baik sekiranya ingin terus bersaing dalam peringkat kumpulan kelayakan ini. Setelah berdepan dengan prestasi yang mengecewakan iaitu hanya mengumpul 1 mata daripada 2 perlawanan di gelanggang sendiri setelah sekadar seri 1-1 dengan pasukan Timor Leste dan dibelasah 6-0 oleh pasukan Palestin, Harimau Malaya tiada jalan lain selain menang dengan pasukan yang mendapat gelaran The Whites ini.
Pasukan negara juga gagal menjelmakan aksi meyakinkan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa  menentang pasukan Bangladesh apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0 pada 29 Ogos 2015 lalu. Tambah merumitkan keadaan adalah kecederaan yang menimpa pemain negara selain tahap kecergasan pemain setelah menghadapi jadual padat liga Ogos lalu. Pasukan UAE pastinya menjadi pilihan namun begitu tidak mustahil pasukan negara mampu memberikan cabaran bermakna kepada pasukan The Whites ini. UAE telah bertemu dengan pasukan Timor Leste dalam aksi pusingan kelayakan dan terpaksa bertungkus lumus sebelum menang 1-0. Selain itu juga, dalam aksi persahabatan menentang pasukan Myanmar,pasukan UAE sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0. Tidak mustahil jika segala taktikal, strategi serta perancangan Ketua Jurulatih Dollah Salleh menjadi pada hari perlawanan tersebut, pasukan negara mampu melakar kejutan. 

Bual Sukan percaya perlawanan pusingan kelayakan ini pastinya menjadi penentu hidup mati pasukan Harimau Malaya selain masa depan Ketua Jurulatih Dollah Salleh dan arah tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia atau FAM sendiri. Semoga penyokong setia Harimau Malaya tidak lagi dihampakan kali ini. Selamat berjuang Harimau Malaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa