Nuffnang Ads

Selasa, 8 September 2015

Bola Sepak : Presiden FAM Bakal Lepas Jawatan

Kemerosotan demi kemerosotan prestasi pasukan Harimau Malaya nyata amat mengecewakan seluruh penggemar sukan bola sepak negara. Terbaru adalah kekalahan 0-10 kepada pasukan UAE dalam perlawanan Pusingan Kelayakan FIFA Piala Dunia 2018 Russia dan Pusingan Kelayakan AFC Piala Asia 2019 UAE. Ini juga merupakan kekalahan terbesar pasukan negara dalam saingan pentas bola sepak antarabangsa. Keputusan ini nyata amat mengecewakan sehingga Ketua Jurulatih negara, Dollah Salleh meletakkan jawatannya selaku pengendali pasukan Malaysia. Tugasan Ketua Jurulatih kini dipangku sementara oleh Ketua Jurulatih pasukan Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee.

Terbaru adalah pengumuman daripada Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengumumkan bakal meletakkan jawatan serta melepaskan tampuk Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia secara berperingkat. Keputusan ini nyata telah menerima pelbagai reaksi sama ada pro ataupun kontra. Namun begitu, pada pandangan Bual Sukan apa yang penting sekarang ialah pihak Persatuan sama-sama memikul tanggungjawab secara bersama selain mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Rombakan Persatuan juga perlu dilakukan bagi memberikan dimensi baru kepimpinan persatuan sukan bola sepak negara dengan mencari muka-muka baru yang boleh melaksanakan perubahan yang terbaik.

Walaupun pelbagai program pembangunan bola sepak dilaksanakan, hasil yang diharapkan daripada perbelanjaan yang dikeluarkan adalah tidak setimpal. Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak berwajib bagi memastikan kebangkitan semula bola sepak negara di semua peringkat bermula daripada akar umbi. Selain itu, cadangan untuk menggantung Persatuan Bola Sepak Malaysia adalah satu yang tidak perlu dilakukan buat masa ini. Sukan ini masih mempunyai sinar, namun perlu mencari pendekatan yang lebih proaktif dan bersifat realistik. Semoga berjaya dan kembalikan kebangkitan bola sepak Malaysia.  

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa