Nuffnang Ads

Isnin, 25 Julai 2016

Bola Sepak : Piala AFF Suzuki 2016 Myanmar - Filipina

Kejohanan bola sepak berprestij negara-negara Asia Tenggara atau Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016 akan kembali menghangatkan saingan bola sepak ASEAN. Edisi 2016 bakal menyaksikan negara Myanmar dan Filipina menjadi tuan rumah pusingan akhir peringkat kumpulan. Kejohanan edisi kesebelas ini bakal bermula pada 19 November 2016 sehingga 19 Disember 2016. 8 negara bakal bersaing merebut kejuaraan dengan 7 negara iaitu pasukan tuan rumah bersama Myanmar dan Filipina serta pasukan Thailand, Malaysia, Singapura, Vietnam dan Indonesia layak secara automatik ke pusingan akhir. Satu lagi slot pasukan bakal ditentukan melalui pusingan kelayakan melibatkan 4 pasukan iaitu, Kemboja, Laos, Timor Leste dan Brunei yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 21 Oktober 2016 akan datang di Kemboja.

Juara bertahan edisi 2014 yang lalu, pasukan Thailand atau nama gelaran mereka The War Elephant pastinya akan sekali lagi menjadi pilihan mempertahankan kejuaraan edisi 2016 ini. Namun begitu, 7 pasukan lain pastinya tidak akan memberikan laluan mudah kepada pasukan Thailand. Berdasarkan rekod 10 kejohanan yang lalu, pasukan Singapura dan Thailand masing-masing berjaya muncul juara sebanyak 4 kali manakala pasukan Vietnam dan Malaysia masing-masing muncul juara sebanyak sekali. Undian Pusingan Akhir akan berlangsung pada 2 Ogos 2016 akan datang di Myanmar. 8 pasukan ini akan diundi kepada 2 kumpulan di mana 2 pasukan yang muncul juara dan naib juara kumpulan akan melangkah ke pusingan separuh akhir. Perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung di Myanmar (Kumpulan A) dan Filipina (Kumpulan B) manakala perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir akan berlangsung secara timbal balas di stadium sendiri dan stadium lawan.

Bual Sukan menjangkakan saingan edisi kali ini pastinya berlangsung sengit dengan setiap pasukan pastinya mengimpikan kejuaraan digapai oleh pasukan masing-masing. Pasukan yang berjaya memanfaatkan peluang dan ruang mencipta jaringan selain mempunyai disiplin pertahanan yang baik pastinya mempunyai peluang melangkah ke pusingan separuh akhir. setiap perlawanan adalah amat penting bagi setiap pasukan dan Ketua Jurulatih masing-masing pastinya mempunyai perancangan formasi, strategi dan taktikal terbaik menghadapi tentangan lawan masing-masing. Berikut adalah kedudukan pasukan dalam balang undian Piala AFF Suzuki 2016 Myanmar - Filipina akan datang :

Balang 1 : Myanmar, Filipina (Pasukan Tuan RumaH)
Balang 2 : Thailand, Malaysia
Balang 3 : Singapura, Vietnam
Balang 4 : Indonesia, Juara Pusingan Kelayakan (Kemboja/Laos/Timor Leste/Brunei)     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa