Nuffnang Ads

Selasa, 24 Januari 2017

Bola Sepak : Bangkok United FC lwn Johor Darul Ta'zim FC

Pasukan Johor Darul Ta'zim FC (JDTFC) atau nama gelaran mereka Harimau Selatan sekali lagi akan turun ke saingan pusingan kelayakan kedua AFC Liga Juara-Juara Asia 2017 atau 2017 AFC Champions League menentang pasukan Bangkok United FC (BUFC) di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand pada 31 Januari 2017 akan datang. Ini adalah kali ketiga berturut-turut pasukan JDTFC yang kini di bawah kendalian Ketua Jurulatih Mexico, Benjamin Mora bersaing pada pusingan kelayakan AFC Liga Juara-Juara Asia. Musim lalu mereka tewas melalui penentuan penalti dengan kelab Thailand Muangthong United FC setelah terikat 0-0 sepanjang perlawanan 120 minit berlangsung. Manakala pada musim 2015, pasukan JDTFC tewas kepada kelab Thailand, Bangkok Glass dengan keputusan 3-0. Pasukan BUFC atau nama gelaran mereka Bangkok Angels di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Brazil, Alexandre Polking merupakan naib juara Liga Premier Thailand 2016 manakala JDTFC adalah juara Liga Super Malaysia 2016.

Pemenang pusingan kelayakan kedua AFC Liga Juara-Juara Asia 2017 antara JDTFC dan Bangkok United FC akan bertemu dengan kelab di tangga keempat Liga Divisyen 1 Jepun (Liga J1), Gamba Osaka pada saingan playoff AFC Liga Juara-Juara Asia 2017 yang dijadualkan pada 7 Februari 2017 di Stadium Bolasepak Bandar Suita, Jepun. Pasukan BUFC pastinya mempunyai kelebihan apatah lagi mereka beraksi di gelanggang sendiri. Namun begitu, wakil negara JDTFC pastinya akan memberikan tentangan sengit kepada pasukan BUFC sekaligus melangkah ke pusingan playoff bertemu Gamba Osaka.  

Bual Sukan percaya, perlawanan kedua-dua pasukan ini pastinya akan berlangsung sengit apatah lagi kedua-dua pasukan ini dibarisi oleh beberapa pemain kebangsaan serta bekas pemain kebangsaan negara masing-masing digandingkan bersama barisan pemain import berkualiti dan pemain-pemain muda berpotensi dalam satu pasukan. Kedua-dua Ketua Jurulatih pasukan pastinya mempunyai perancangan formasi, strategi dan taktikal yang diharapkan mampu memerangkap pasukan lawan masing-masing. Pasukan yang berjaya memanfaatkan setiap peluang dan ruang mencipta jaringan selain disiplin pertahanan yang tinggi dilihat mampu ke pusingan seterusnya. Semoga berjaya kepada pasukan JDTFC dalam misi melakar sejarah sebagai kelab Malaysia pertama ke saingan peringkat kumpulan AFC Liga Juara-Juara Asia.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan Penaja

Alexa